Not a member of Pastebin yet?
Sign Up,
it unlocks many cool features!
- 1. Wahhabi dikenali pada manhaj dan ideologi (pemikiran) bukan semata-mata kaitan dengan batang tubuh Muhammad Bin Abdul Wahhab (1115H-1206H) yang telah meninggal dunia. Semoga Allah ampunkan dosa di atas pertumpahan darah umat Islam yang tercatat di dalam sejarah hitam mereka.
- 2. Sekalipun tokoh itu tidak pernah belajar di Mekah atau Madinah dan menafikan mempelajari Kitab-kitab Muhammad bin Abdul Wahhab mereka tetap akan dikenal sebagai Wahhabi kerana dilihat kepada persamaan ideologi dan manhaj yang dibawa.
- 3. Sebab itu para ulama kita menjenamakan sesuatu firqah (puak) dengan nama tertentu untuk dikenali aliran-aliran yang menyelisih daripada jalan Majoriti Ulama’ Ahl al-Sunnah Wa al-Jama’ah dan diberikan peringatan kepada umat Islam agar tidak mengambil akidah dan fahaman mereka. Rujuk kitab al-Firaq al-Islamiyyah.
- 4. Sebagai contoh pemikiran Muktazilah yang dijenamakan kepada pengasasnya iaitu Wasil Bin Atho’ (80H-131H) telah lama meninggal dunia bahkan mungkin kitabnya sudah tidak wujud namun pemikirannya terus berkembang dan masih berpengaruh sehingga ke hari ini. Kerana barang yang terbuang pasti ada yang mengutipnya.
- 5. Peringatan! Boleh sahaja satu ideologi itu berlaku perubahan mengikut zaman dan tokoh yang membawa fahaman tersebut. Sebagai contoh fahaman Muktazilah kemudian dikembangkan oleh salah seorang tokoh Muktazilah bernama Jaham bin Sofwan dan dikenali mereka dengan Jahmiyyah. Namun prinsipnya masih berakar kepada fahaman Muktazilah. Begitu juga Wahhabi. Mungkin sahaja pendekatan dan pandangan mereka sedikit berbeza namun hakikatnya mereka datang daripada akar dan benih yang sama.
- 6. Sejarah lahirnya firqah Muktazilah pada kurun kedua hijrah apabila Wasil bin Atho’ menyelisih pandangan Imam Ahl al-Sunnah pada zamannya iaitu Imam Hassan al-Basri. Kemudian Wasil bin Atho’ mengasingkan diri daripada halaqah ilmu Hassan al-Basri maka digelar mereka itu dengan Muktazilah (orang yang mengasingkan diri). Nama ini diambil daripada perkataan Imam Hassan al-Basri yang mengatakan {اعتزلنا واصل} {Telah mengasingkan diri daripada kami oleh Wasil}. Kemudian kelompok Wasil bin Atho’ dikenali sebagai Muktazilah. Rujuk Sir al-Nubala’, al-Zahabi.
- 7. Jika dilihat Wahhabi pada hari ini juga mengalami perubahan mengikut zaman dan tokoh. Bermula Zaman Muhammad bin Abdul Wahhab yang terpengaruh dengan kitab-kitab Imam Ibn Taimiyyah dan Ibn Qayyim di dalam banyak perkara. Daripada sudut akidah dilihat Muhammad bin Abdul Wahhab juga terpengaruh dengan akidah mujassimah atau tajsim Ibn Taimiyyah yang telah ditolak oleh kesepakatan ulama’ pada zaman beliau. Rujuk kitab-kitab Al-Hafidz Taqi al-Din al-Subki.
- 8. Jika dahulu fahaman ini dilihat keras sehingga memerangi kerajaan Islam namun selepas beroleh kemenangan menawan tanah hijaz (Mekah dan Madinah) pendekatan mereka sudah berbeza. Masih ada yang keras seperti aliran Wahhabi Madkhali yang mengkafirkan semua jemaah Islam termasuk Ikhwan al-Muslimin, Tabligh, Al-‘Asyaairah dan lain-lain.
- 9. Sekarang bahasa dan pendekatan Wahhabi khususnya di Malaysia agak lunak dan lembut. Mungkin mereka belajar daripada sejarah di mana Wahhabi tidak pernah diterima di Tanah Melayu kerana kekuatan ulama’ pondok dan kitab-kitab jawi yang berteraskan pengajian Mazhab Syafie, sifat 20 ‘Asyaairah dan tasawwuf Al-Ghazali telah berjaya mengekang pemikiran mereka. Lihat sejarah Tanah Melayu di mana Kaum Muda atau Wahhabi tidak pernah berjaya menghancurkan kefahaman Islam yang sedia ada dan mereka mati tanpa bernesan.
- 10. Namun pada hari ini, dek kecuaian masyarakat kita mendalami Islam melalui sistem pengajian Ahl al-Sunnah Wa al-Jama’ah dan prinsip-prinsipnya serta mengenali ulama-ulamanya menyebabkan ramai yang terpedaya dan terpesona dengan kelunakan dan slogan kembali kepada Al-Quran dan As-Sunnah tanpa kemampuan disiplin ilmu untuk membezakan Manhaj Ahl al-Sunnah Wa al-Jama’ah dan Wahhabi.
- 11. Akhirnya, untuk memahami ideologi dan pemikiran Wahhabi jangan hanya dilihat kepada kelunakan tokoh-tokoh mereka tetapi lihatlah ke dasar manhaj akidah dan usul mereka yang menyalahi ijmak ulama’ Ahl al-Sunnah Wa al-Jama’ah.
- # Kenali Manhaj Ahl al-Sunnah Wa al-Jama’ah pasti kalian akan menolak Wahhabi.
- Pengkaji Firaq Islamiah,
- Ustaz Mohd Al-Amin Bin Daud Al-Azhari
- Usuluddin Akidah dan Falsafah
- Universiti Al-Azhar Mesir
Advertisement
Add Comment
Please, Sign In to add comment